7.2 USAHAWAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Dalam Islam, usahawan difahami sebagai seseorang yang menjadikan seluruh aktiviti keusahawanannya untuk menunaikan tanggungjawab atau peranan sebagai seorang hamba.
Usahawan dalam Islam juga difahami dengan golongan yang menjalankan aktiviti perniagaan dengan produk yang halal dan terikat dengan etika serta pengaruh syariah yang bersumberkan al-Quran dan hadis.
Ini selaras dengan tujuan penciptaan seorang hamba, iaitu sebagai khalifah yang mengurus, mentadbir dan memimpin dan memegang amanah di muka bumi. Semua kekayaan, kemewahan, rezeki, kemahiran, kebolehan, jawatan, pangkat, kuasa dan seluruh alam maya yang wujud ini merupakan suatu amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia.
Justeru, sebagai seorang pemegang amanah, manusia ditugaskan untuk menjaga dan menggunakan semua sumber yang diamanahkan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada sesama manusia tanpa menjejas serta mencerobohi hak orang lain. Rajah 7.1 menyenaraikan DUA tanggungjawab seseorang usahawan muslim terhadap Allah.
|
Rajah 7.1: Tanggungjawab seorang usahawan muslim
|
Definisi usahawan yang dikemukakan oleh Dr. Joel Barker, iaitu seorang usahawan ialah “sesiapa sahaja yang berjaya mewujudkan nilai tambah yang besar dan berfaedah kepada pengguna atau masyarakat” boleh dilihat mempunyai maksud yang sangat rapat dengan konsep usahawan dalam Islam. Definisinya adalah selaras dengan Islam kerana ia berteraskan konsep tauhid, peranan manusia sebagai khalifah dan pemegang amanah kepada semua harta Allah S.W.T di atas muka bumi ini.
Manusia adalah hamba Allah S.W.T yang memegang amanah dan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan harta Allah S.W.T bagi mewujudkan kesejahteraan ummah keseluruhannya. Kesejahteraan ummah dapat dicapai dengan mewujudkan nilai tambah dalam ekonomi berpaksikan niat mengabdikan diri sebagai pemegang amanah Allah S.W.T.
Berdasarkan konsep di atas, semua manusia adalah usahawan dalam pelbagai medan dan bidang kehidupan masing-masing. Jika seseorang manusia itu melaksanakan peranannya dengan betul, ia akan mewujudkan suatu nilai tambah kepada ummah sekali gus seorang usahawan yang cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi.
|
|
- Jelaskan apa yang anda faham berkaitan konsep usahawan menurut perspektif Islam.
- Bandingkan definisi usahawan Islam dengan definisi usahawan yang dikemukakan oleh Peter Drucker dan Joel Barker.
| |
| | |
No comments:
Post a Comment